SOIMAN Jahid
Kalbana Perimbanayagam
kalbana@nst.com.my

Kuala Lumpur: Pemilik bangunan yang masih menggunakan penebat haba mengandungi polyurethane (polyfoam) diminta menggantikan segera bahan berkenaan bagi mengelak tragedi kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, kelmarin berulang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid berkata, semua bangunan terutama bangunan kerajaan yang menggunakan penebat jenis itu perlu diperiksa dan digantikan dengan penebat yang tidak mudah terbakar.

Katanya, pihaknya juga sudah mengedarkan peringatan kepada pemilik bangunan untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan di bangunan masing-masing bagi mengelak kejadian sama berulang.

“JBPM kini dalam usaha mengenal pasti bangunan yang masih menggunakan penebat jenis polyfoam dan sebaik ia dapat dikenal pasti, kita akan memberikan notis kepada pemilik bangunan untuk menukar penebat terbabit sebelum disusuli dengan langkah penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


LAPORAN Harian Metro, kelmarin.

Soiman berkata, operasi untuk mengenal pasti bangunan berkenaan kini dibuat secara menyeluruh membabitkan JBPM seluruh negara.

“Buat masa ini, kita tidak mempunyai sebarang angka mengenai berapakah bilangan bangunan yang masih menggunakan penebat haba mudah terbakar ini dan kita sudah mengarahkan agar JBPM negeri mengumpul maklumat mengenainya.

“Jadi, setiap JBPM negeri hanya mempunyai masa sebulan untuk mengumpul maklumat berkenaan,” katanya.

Menurut Soiman, kebanyakan bangunan yang menggunakan penebat berkenaan sudah lebih dari 10 tahun dan tidak pernah digantikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 9:48 AM