NOH (kanan) sambil diperhatikan Wan Mohd Nor menunjukkan polystryrene foam yang menjadi punca kebakaran bangunan KWSP Jalan Gasing, Petaling Jaya, kelmarin.
Fairuz Mohd Shahar
news@nst.com.my

Putrajaya: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menjalankan pemeriksaan di beberapa bangunan di bandar besar seluruh negara bagi mengenal pasti penggunaan bahan mudah terbakar atau tidak dibenarkan pada struktur binaan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, ia susulan kejadian kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya di mana salutan dinding luarnya atau cladding diperbuat daripada polisterin foam.

Beliau berkata, bangunan atau premis yang menggunakan polisterina atau bahan mudah terbakar sebagai salutan dinding luar dinasihatkan menanggalkannya serta-merta kerana menjadi kesalahan kepada pemilik menggunakan bahan tidak dibenarkan oleh bomba.

“Sebelum sesuatu bangunan itu menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan, bomba akan melakukan pemeriksaan dari aspek keselamatan.

“Bagaimanapun, apabila pengubahsuaian dilakukan, pemilik bangunan masih menggunakan bahan mudah terbakar sebagai salutan dinding luar dan tidak mendapatkan nasihat daripada JBPM,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 9:41 AM