Ramli dan Timah menjahit atap nipah yang ditempah pelanggannya di Kampung Jenang.
Nazdy Harun
am@hmetro.com.my

Marang: Walaupun dihambat arus kemodenan, permintaan terhadap atap nipah masih mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Pengusaha, Ramli Mat Amin, 65, dari Kampung Jenang, di sini, berkata, dia mengusahakan pembuatan atap nipah sejak 17 tahun lalu bersama isterinya, Timah Kassim, 61, dan menjadikan laman sosial sebagai medan untuk mempromosikan atap dihasilkan.

Ramli yang dikategori sebagai orang kurang upaya (OKU) berkata, setiap bulan dia mampu menghasilkan 2,000 keping atap nipah dan dijual pada harga RM2 sekeping.

“Untuk menyiapkan atap nipah ditempah, setiap hari saya dan menantu ke kawasan paya nipah untuk memungut daun nipah sebelum dijadikan atap.

“Selain itu, buluh dan rotan juga perlu dicari di kawasan hutan berhampiran kampung untuk digunakan dalam proses menyiapkan sekeping atap,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Ramli berkata, tempahan dari seluruh negara terutama dalam kalangan pemilik chalet, kem latihan, kedai makan dan rumah kongsi balak yang biasa menggunakan atap berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 9:34 AM