TONG gas industri yang dirampas dalam serbuan di Kawasan Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, kelmarin. Hos (gambar kecil) turut dirampas. FOTO Ihsan KPDNKK
Mohd Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesan tindakan pembekal gas petroleum cecair (LPG) memindahkan gas LPG subsidi ke dalam tong gas industri secara haram di sebuah stor di Kawasan Perindustrian USJ 1, Subang Jaya.

Difahamkan, pembekal yang mempunyai lesen sah itu menjual tong gas industri pada harga lebih murah berbanding harga pasaran selepas ‘mencuri’ gas bersubsidi.

Susulan risikan sejak lebih sebulan lalu, pihak KPDNKK menyerbu stor berkenaan pada 2.30 petang kelmarin sebelum menemui 40 tong gas industri yang dipercayai siap untuk dipasarkan.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Putrajaya Khairi Jamaludin berkata, beberapa pekerja stor berkenaan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Kami menyerbu sebuah stor yang dipercayai menjadi tempat memindahkan gas dari tong bersubsidi berkapasiti 14 kilogram (kg) ke tong industri berkapasiti 50 kg.

“Berdasarkan pemeriksaan, sebanyak 40 tong industri berisi gas ditemui, selain 143 tong subsidi ditemui dengan ada yang kosong manakala sebahagiannya berisi.

“Kita turut menemui 20 unit hos dipercayai digunakan untuk memindahkan gas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM32,410 dan kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 9:38 PM