Gambar fail menunjukkan keadaan rumah yang disewa oleh pekerja asing di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.
Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bh.com.my


KERAJAAN Negeri Melaka sedia mempertimbangkan cadangan mewujudkan perumahan khas pekerja warga asing secara sistematik bagi mengawal isu sosial dan keselamatan golongan itu di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pada masa kini terdapat lebih 80,000 pekerja warga asing berdaftar di negeri itu yang bekerja dalam pelbagai sektor, termasuk perindustrian dan pembuatan.

Sehubungan itu, beliau sudah mengarahkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Wira Ismail Othman berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan industri berhubung forum khusus bagaimana mengawal penempatan untuk pekerja warga asing.

“Saya berpandangan, kawasan penempatan ini juga perlu mempunyai sistem kawalan keselamatan, termasuk berpagar dan berpengawal atau mempunyai kad pintar bagi memantau isu sosial serta keselamatan warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri hari ini.

Ditanya adakah langkah itu mempunyai kaitan isu masalah sosial termasuk kes jenayah, Idris berkata, setakat ini masalah sosial khususnya jenayah membabitkan golongan itu masih minimum tetapi harus dikawal.

“Ia mengambil kira isu integrasi amalan budaya mereka yang mungkin tidak disenangi masyarakat setempat, khususnya dalam aspek kebersihan dan gaya hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Idris mengumumkan penangguhan sementara semua kerja pengorekan jalan di negeri ini bermula 9 Februari lalu hingga 23 Februari ini bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina.

“Jika masyarakat ada melihat sebarang kerja pengorekan jalan dalam tempoh itu, mereka boleh melaporkan kepada pihak PBT atau Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 7:57 PM