BADRUL Hesam Md Sharip, 51 menunjukkan kesan kecederaan dikepala anaknya, Mohd Farhan Reza Badrul Hesam, 13 ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bangkahulu, Gemas susulan mangsa yang cedera akibat terkena bilah traktor mesin rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman, Gemas. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim dan Amran Yahya
rnoraina@hmetro.com.my


“SAYA tergamam melihat Nur Afini rebah dan darahnya terpercik pada pakaian saya," kata Mohd Farhan Reza Badrul Hesam, 13, yang cedera akibat terkena serpihan bilah pisau mesin rumput yang turut mengorbankan rakannya itu, semalam.

Mohd Farhan yang ditemui di rumahnya di Kampung Bangkahulu, Gemas, hari ini, mengakui trauma dengan tragedi itu yang berlaku ketika mereka berehat di padang semasa raptai perbarisan untuk hari sukan sekolah yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, itu yang baru dibenarkan keluar daripada Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, berkata, Nur Afini Roslan, 14, duduk di belakangnya sebelum mereka mendengar bunyi letupan kecil seperti mercun.

"Saya kemudian terasa kepala dihentak sesuatu dan apabila menoleh ke belakang, Nur Afini sudah rebah dalam keadaan berlumuran darah. Sebahagian kepalanya yang terpotong jatuh di depan saya," katanya yang mengakui kini takut melihat traktor mesin rumput.

Katanya, keadaan kecoh dengan ramai pelajar menjerit selepas kejadian itu sebelum guru mengarahkan mereka beredar dari lokasi itu.

Ibunya Zalina Mohd Noor, 48, berkata dia hanya mengetahui tragedi itu apabila ke sekolah selepas dihubungi guru memaklumkan anaknya cedera.

“Saya terkejut dan tidak menyangka ada pelajar yang maut dalam insiden itu. Lebih mengejutkan apabila mendapati mangsa adalah anak rakan baik kami sekeluarga menyebabkan saya menggigil," katanya.

Dalam kejadian 10.30 pagi di SMK Tuanku Abdul Rahman semalam, Nur Afini yang juga pelajar Tingkatan Dua sekolah itu, meninggal dunia selepas kepalanya terpotong dua akibat terkena bilah pisau mesin rumput yang ditarik menggunakan traktor di padang sekolah.

Mohd Farhan dan seorang lagi rakan mereka, Abdullah Hazlan, 14, yang masing-masing duduk berdekatan mengalami cedera dalam insiden itu.

Sementara itu, Abdullah, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Londah, Gemas, berkata, dia secara kebetulan sedang melihat ke arah traktor berkenaan sebelum letupan kecil berlaku.

"Kejadian sangat pantas. Saya nampak satu objek terpelanting ke arah kami dan saya sempat menjerit, namun tidak dapat berbuat apa-apa.

“Saya terasa satu hentakan kuat di bahagian telinga sebelah kanan dan pada masa yang sama saya ternampak Mohd Farhan dan Nur Afini terbaring. Kemudian saya sedar pakaian saya turut terkena percikan darah," katanya.

Dia berkata, tidak menyedari kecederaan dialaminya sehingga seorang rakannya memberitahu telinganya berlumuran darah.

Bapanya, Hazlan Harun, 51, ketika ditemui ditemui berkata, dia menganggap tragedi ini sebagai ketentuan dari Allah SWT dan meminta semua pihak tidak menyalahkan sesiapa, sebaliknya menyerahkan siasatan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:34 PM