BAHARUDDIN (kanan) menunjukkan gambar suspek kes bunuh yang diburu polis. FOTO Muhammad Sulaiman
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


PRODUK yang dijual didakwa tidak mujarab dipercayai punca peniaga kosmetik ditetak dan dikelar pada leher oleh sekumpulan individu dalam serangan di tapak Pasar Malam Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, 5 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, serangan itu ada kaitan dengan pertengkaran mengenai produk kosmetik yang dipromosikan di pasar malam itu oleh mangsa dengan sekumpulan lelaki warga Indonesia, pada Jun tahun lalu.

“Dalam kejadian itu, beberapa lelaki etnik Madura Indonesia, dipercayai mengunjungi tapak perniagaannya ketika mangsa mempromosikan barangan kosmetik berkenaan.

“Ketika itu, berlaku pertengkaran apabila kumpulan terbabit mendakwa barangan dijual mangsa tidak mujarab menyebabkan berlakunya pergaduhan. Kami difahamkan selepas insiden pada Jun tahun lalu, mangsa berhenti daripada berniaga di situ.

“Bagaimanapun, pada 5 Januari lalu mangsa kembali semula untuk berniaga di tapak pasar malam berkenaan dan sekali lagi berlaku pergaduhan, yang kemudian menyebabkan mangsa mati dibunuh,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah menahan 14 suspek, termasuk empat wanita dengan 10 daripada mereka sudah didakwa di mahkamah, manakala empat lagi dibebaskan.

“Kita memerlukan dua lelaki Indonesia berusia 20-an bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh berkenaan.

“Individu terbabit dikenali dengan nama Jumadi dan Gandar, berperwatakan kurus, agak rendah dan berkulit cerah.

“Kita minta dua individu ini tampil membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam,” katanya.

Dalam kejadian pada 9.05 malam pada 5 Januari lalu, mangsa Mohd Nor Syazrin Rasdi, 29, bersama seorang wanita tempatan dan dua pekerja warga asing didatangi sekumpulan individu ketika sedang berniaga barangan kosmetik di tapak pasar malam berkenaan.

Mangsa kemudian dikelar di leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang pekerjanya yang cuba membantu turut cedera di kepala.

Berita berkaitan:

Kes bunuh peniaga kosmetik: Empat diburu

Maut dikelar depan rakan wanita

PIX dan Video: Muhammad Sulaiman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 2:13 PM