GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@mediaprima.com.my


PADAH mencabul kehormatan wanita di dalam bas ekspres, lelaki warga Pakistan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Haris Mohamad Moin, 25, selepas warga asing itu mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.

Tertuduh turut diperintah menjalani penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan wanita tempatan berusia 23 tahun dalam bas ekspres di hadapan pusat beli-belah di Tampoi, kira-kira 7 pagi, 8 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh yang bekerja sebagai tukang paip didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan sebelum dijatuhi hukuman, tertuduh memohon hukuman ringan memandangkan dengan pendapatan RM930 sebulan, dia menanggung empat orang adiknya yang masih bersekolah di Pakistan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Jalil Salam Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Zafirah Norizan dan Siti Nadia Yahya.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku di dalam bas ekspres itu ketika mangsa sedang berdiri sebelum tertuduh mencucuk pinggang dan memegang tangan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 12:37 PM