KEADAAN kenderaan traktor mesin rumput yang digunakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman, Gemas, Tampin sehingga mengakibatkan Nur Afini maut dan dua rakannya cedera akibat terkena bilah pisau sebuah traktor mesin rumput di sekolah itu, 10.30 pagi. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


INSIDEN membabitkan pelajar tingkatan dua maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput, di Gemas, Negeri Sembilan, semalam, menunjukkan aspek keselamatan di sekolah mesti dipertingkatkan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kejadian berkenaan boleh dicegah sekiranya pihak terbabit mengutamakan keselamatan pelajar.

"Sepatutnya ketika kerja selenggaraan dijalankan, pelajar tidak dibenarkan berada di kawasan berkenaan, dan sebaliknya.

"Kejadian ini memberi pengajaran bahawa keselamatan pelajar perlu diberi perhatian," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua tempat kerja mempunyai bahaya dan risiko yang perlu ditangani dan menjadi tanggungjawab guru termasuk murid untuk mengenal pasti dan mencegah kemalangan daripada berlaku.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat laporan kemalangan di sekolah yang membabitkan guru, kakitangan dan pelajar. Sebahagian daripada mereka maut," katanya.

Dalam kejadian 10.30 pagi semalam itu, Nur Afini Roslan, 14 yang juga cucu saudara kepada bekas jaguh Raja Pecut negara, Datuk Rabuan Pit meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kepalanya terpotong dua, dipercayai selepas terkena bilah yang melayang.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Abd Razak, dilaporkan berkata , dua pelajar turut cedera iaitu Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 11:43 AM