Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my


TEMPOH reman dua beradik yang disyaki mendera pembantu rumah warga Indonesia sehingga mati dilanjutkan selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Nor Hapipah Abdullahke atas suspek berusia 36 dan 39 tahun berkenaan selepas permohonan pihak polis.

Terdahulu kedua-dua suspek yang tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dengan berpakaian lokap berwarna oren dan ungu, direman empat hari bermula Ahad lalu.

Dalam kejadian Ahad lalu, Adelina Lisao, 26, ditemui dalam keadaan tidak bermaya dengan terdapat kesan lebam di kepala serta pelbagai kecederaan lain di tangan dan kedua-dua kakinya akibat didera di rumah dekat Taman Kota Permai.


BUKIT MERTAJAM 14 FEBRUARI 2018. Suspek dua beradik diiringi anggota polis dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam untuk disambung reman atas tuduhan mendera seorang amah yang dikenali sebagai Adelina Lisao, 26, sehingga menyebabkan kematian. Suspek disambung reman selama 7 hari. NSTP/RAMDZAN MASIAM

Keperitan hidup yang dilalui wanita yang berasal dari Nusa Tenggara itu terbongkar apabila dia diselamatkan pihak berkuasa selepas mendapat maklumat orang awam dan jiran di kawasan itu.

Bagaimanapun, wanita itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan mayatnya di bawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat

Laporan bedah siasat mendedahkan Adelina maut akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah.

Berikutan itu, polis menahan dua adik beradik terbabit termasuk ibu mereka berusia 60 tahun untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan

Amah mati akibat hilang banyak darah

Mohon polis selesaikan segera kes dera amah

Dah 4 tahun berkhidmat

[UPDATE] Amah Indonesia meninggal dunia [METROTV]

Amah Indonesia didera [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 11:16 AM