Seramai 699 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan dengan menaiki kapal ke Zamboanga, Filipina. FOTO Ihsan MKN
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


SERAMAI 699 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan di sini, malam tadi.

Semua PATI berusia antara tujuh bulan hingga 65 tahun itu dihantar dengan menaiki kapal ke Zamboanga, Filipina.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Datuk Rodzi Md Saad berkata, PATI berkenaan merangkumi 569 lelaki, 105 wanita dan 25 kanak-kanak.

“Penghantaran ini menjadikan jumlah PATI yang diusir dari negeri ini bagi 2018 sehingga malam tadi seramai 2,345 orang.

"PATI yang diusir tahun lalu hingga semalam ialah 14,318 orang, manakala PATI diusir dari negeri ini, termasuk yang pulang secara sukarela sejak 1990 hingga kini pula adalah seramai 566,890 orang," katanya di sini, malam tadi.

Mohd Rodzi berkata, penghantaran pulang PATI adalah komitmen berterusan kerajaan dalam menangani masalah kehadiran golongan itu di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 10:54 AM