APM Sabah buat persiapan akhir dalam OPS Bantu bagi membantu pengguna jalan raya yang mengalami kecemasan sepanjang perjalanan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2018. FOTO Ihsan APM
Mohd Izham Unnip Abdullah
am@hmetro.com.my


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah menyasarkan 15 laluan berisiko tinggi berlaku kemalangan dipantau menerusi Ops Bantu APM di seluruh negeri, bermula hari ini.

Lapan daripada laluan terbabit ialah di kawasan pantai barat, utara dan pedalaman iaitu Jalan Kota Kinabalu-Papar, Jalan Beaufort-Kimanis, Jalan Lama Papar-Bulatan Benoni, Jalan Pitas-Tandek, Jalan Kota Marudu-Sikuati, Jalan Tuaran Kota Belud, Jalan Keningau-Tambunan dan Simpang Tiga Kudat-Kota Marudu-Kota Belud.

Selebihnya terletak di kawasan pantai timur iaitu Jalan Sandakan-Batu 32, Jalan Tawau-Kalabakan, Jalan Kinabatangan-Sandakan, Jalan Lahad Datu-Semporna, Jalan Semporna-Tawau, Jalan Tongod-Telupid-Sandakan dan Jalan Lahad Datu-Tawau.

Pengarah APM Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, Ops Bantu APM berkonsepkan rondaan dan membantu pengguna jalan raya yang mengalami kecemasan atau kesusahan ketika pulang ke kampung halaman sempena Tahun Baharu Cina.

“Ia membabitkan anggota Pejabat Negeri APM Sabah, Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) dan Pejabat Unit Pertahanan Awam Sabah (PUPA).

"Lokasi dipilih adalah laluan jalan raya yang dikenal pasti kawasan hitam oleh pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kamal berkata, operasi pertama sempena musim perayaan itu dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu bermula hari ini hingga esok bagi fasa pertama dan Ahad hingga Isnin ini bagi fasa dua.

Katanya, pemantauan APM dilaksanakan bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam.

"Orang awam yang memerlukan bantuan segera boleh menghubungi talian kecemasan 999 bagi tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 10:25 AM