KEMALANGAN empat kenderaan menyebabkan kesesakan di Kilometer 51.2 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sedenak-Simpang Renggam, Kluang, hari ini.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


KEMALANGAN bas ekspres, lori dan dua lagi kenderaan di Kilometer 51.2 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sedenak-Simpang Renggam, Kluang mengakibatkan berlaku kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah sepanjang 10 kilometer, hari ini.

Kejadian pada 5.30 petang itu menyebabkan laluan kenderaan di lorong kiri kedua-dua arah utara dan selatan terhalang.

Bagaimanapun, semua 44 penumpang bas ekspres dan pemandu serta penumpang tiga lagi kenderaan tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kemalangan itu membabitkan empat kenderaan iaitu lori, bas ekspres, Perodua Myvi dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang bergerak ke arah utara terbabas ke lorong kiri lalu melanggar penghadang jalan dan berpusing.

"Bas ekspres yang berada di belakang lori berkenaan cuba mengelak sebelum terbabas ke laluan arah bertentangan.

"Perodua Myvi yang berada di belakang bas ekspres itu pula cuba mengelak dan menekan brek secara mengejut lalu dilanggar SUV yang juga kenderaan milik Jabatan Perhutanan Negeri Johor," katanya.

Menurut Mohamad, akibat kemalangan itu, kesesakan lalu lintas berlaku di kedua-dua arah, namun terkawal.

Katanya, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dialami semua pemandu dan penumpang keempat-empat kenderaan itu.

Sementara itu, menerusi Twitter Plus Trafik melaporkan lorong kiri kedua-dua arah terhalang dan aliran trafik bergerak perlahan bermula 5.40 petang.

Lorong kiri arah selatan kembali dibuka pada 6.08 petang, diikuti lorong kiri arah utara pada 7.17 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 9:49 PM