FOTO hiasan
Siti A'isyah Sukaimi dan Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my


DUTCH Lady Malaysia mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap produk Dutch Lady Curious (900 gram) dengan nombor kelompok 1023C7WA.

Tindakan terbabit diambil berikutan aduan kesihatan diterima daripada pelanggan yang mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.

Sebaik menerima aduan, Dutch Lady Malaysia turut melancarkan tindakan segera untuk menghubungi pelanggan dan menjalankan semakan terperinci.

Selaras dengan prosedur syarikat, sampel produk diperoleh daripada pelanggan dan dihantar ke makmal dalaman dan pusat pengujian bebas yang diiktiraf untuk proses ujian.

Dutch Lady Malaysia juga mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan bekerjasama berhubung perkara itu.

Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia Tarang Gupta berkata, keputusan penuh akan diumumkan selepas proses siasatan diselesaikan.

“Bagi pihak Dutch Lady Malaysia, kami mengambil berat insiden itu dan memberi jaminan kepada pengguna bahawa kesihatan serta kesejahteraan mereka sentiasa menjadi keutamaan.

“Buat masa ini, penemuan awal daripada proses kawalan kualiti dalaman menunjukkan produk Dutch Lady tidak mempunyai sebarang kekurangan daripada segi kualiti, dan susu kami juga selamat untuk diminum,” katanya.

Katanya, berhubung perkara yang dipersoalkan di media sosial, baru-baru ini, Dutch Lady Malaysia juga berusaha menangani spekulasi yang dibangkitkan mengenai pembungkusannya.

“Kami menyedari bahawa maklumat yang tidak tepat mula disebarkan di media sosial ketika netizen berkongsi kebimbangan mereka.

“Bagi melindungi kepentingan pelanggan, kami perlu memperbetulkan spekulasi terhadap beberapa butiran pembungkusan kami yang disalah anggap sebagai penunjuk produk palsu,” katanya.

Dutch Lady Malaysia menjelaskan ciri-ciri berikut terdapat dalam semua produk Dutch Lady yang sahih.

Kod kelompok yang bermula dengan nombor 100, 101, 102 dan 103.

Tarikh luput yang berakhir dengan (R), (W1), (W2), dan (W3).

Variasi pembungkusan yang mempunyai perkataan ‘Calcium’ dan ‘Kalsium’ selain menunjukkan logo FrieslandCampina bersama dan tanpa kotak putih.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan keselamatan produk susu tepung rumusan untuk kanak-kanak yang didakwa menyebabkan simptom selepas meminumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia susulan aduan pengguna berhubung pek promosi susu tepung rumusan itu yang tular di media sosial.

"Pengadu memaklumkan anaknya mengalami simptom ruam merah di bahagian leher dan celah paha, batuk, cirit-birit dan demam panas selepas mengambil produk susu tepung berkenaan.

"Kementerian Kesihatan ingin menegaskan susu tepung rumusan untuk kanak-kanak bagi jualan perlu mematuhi Peraturan 91B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mengikut Akta Makanan 1983," katanya dalam satu kenyataan di blog beliau, hari ini.

Baru-baru ini, tular melalui laman sosial mengenai seorang pengguna mengadu anaknya mengalami simptom seperti cirit-birit, demam dan gatal selepas meminum susu berkenaan.

Menerusi statusnya, pengadu mendakwa sudah membuat aduan kepada Pejabat Kesihatan Jerantut, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 8:48 PM