KETULAN ganja dan wang tunai yang dirampas daripada dua lelaki di Setapak, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my


DUA lelaki disyaki pengedar dadah ditahan bersama beg plastik mengandungi ganja di hadapan lif di tingkat 10 sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Setapak, semalam.

Suspek berusia 22 dan 25 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 9.40 malam, susulan maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pemeriksaan menemui satu ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 253.2 gram dianggarkan bernilai RM850 dalam bungkusan plastik dibawa salah seorang suspek.

“Soal siasat ke atas suspek mendapati mereka aktif mengedar ganja di sekitar daerah Wangsa Maju sejak tujuh bulan lalu.

“Kedua-dua suspek direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, pihak polis turut merampas wang tunai RM120 dipercayai hasil jualan dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamin, manakala semakan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 7:00 PM