PASANGAN pengantin OKU, Amin Ridzuan Che Mohamad, 31 dan Siti Nor Azizah Abdul Aziz, 29, semasa majlis perkahwinan mereka di Kampung Menerong, Pokok Sena. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


BIARPUN masing-masing lumpuh dan tidak mampu berjalan, pasangan orang kurang upaya (OKU) dari Pokok Sena ini tidak menjadikan kekurangan diri mereka sebagai penghalang untuk mendirikan rumah tangga.

Perkenalan singkat Amin Ridzuan Che Mohamad, 31, dan Siti Nor Azizah Abdul Aziz, 29, menerusi WhatsApp telah menerbitkan rasa cinta hingga mereka sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di Kampung Menerong, Pokok Sena, Alor Setar, semalam.

Perkahwinan pasangan itu yang kedua-duanya berkerusi roda menarik perhatian ramai apabila diarak oleh rakan-rakan OKU yang juga berkerusi roda.

Mereka diraikan dalam majlis persandingan secara sederhana tetapi meriah dengan dihadiri lebih 1,000 tetamu.

Menurut Amin Ridzuan, dia sangat bersyukur ditemukan jodoh dengan seorang wanita yang penyayang dan berharap perkahwinan mereka berkekalan.

"Kami kenal dalam kumpulan WhatsApp tahun lalu, pertemuan pertama kami di rumah Azizah sebelum mengikat tali pertunangan tiga bulan kemudian pada Oktober 2017.

"Isteri saya ini sangat manis orangnya dan yang penting kami saling memahami kerana masing-masing tidak mampu berjalan," katanya yang lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan tujuh tahun lalu.

Bagi Azizah pula, dia tidak pernah merasai nikmat berjalan sejak kecil selepas diserang demam panas.

"Saya sudah biasa duduk di rumah saja, selepas ini saya akan cuba melaksanakan tanggungjawab saya sebagai isteri sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, sahabat mereka yang juga OKU, Syazani Md Saad, 35, berkata, kehidupan sebagai pasangan suami isteri OKU perlu banyak bersabar berbanding pasangan lain.

"Mereka perlu tabah dan bersabar dan kekuatan itu perlu dua kali ganda daripada pasangan normal, saya mendoakan yang terbaik untuk mereka," katanya yang berasal dari Rawang, Selangor.

Amin dan Siti Nor Azizah, keduanya adalah penerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mereka menjana pendapatan dengan perniagaan di atas talian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 11:53 AM