NOOR Hashim (tengah) beramah mesra dengan peneima sijil penghargaan ketika Program Perhimpunan Bulanan 2018. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


PENAHANAN 55 warga China dan Taiwan yang terbabit dengan sindiket Macau Scam antara tangkapan menarik dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata tangkapan terhadap sindiket antarabangsa dilakukan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) turut mendapat pujian Polis Hong Kong.

"Penahanan 55 warga China dan Taiwan membabitkan sindiket Macau Scam antara kejayaan dan tangkapan menarik pada tahun lalu direkodkan IPD ini.

"Berikutan tangkapan itu, pengiktirafan juga diberikan Polis Hong Kong terutama kepada anggota terbabit dengan siasatan berkenaan," katanya sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Iskandar Puteri Bulan Februari 2018 di IPD Iskandar Puteri di Iskandar Puteri, hari ini.

Terdahulu 23 individu termasuk orang awam, sukarelawan, polis bantuan dan anggota polis menerima sijil penghargaan berikutan sumbangan diberikan dalam membantu IPD Iskandar Puteri menurunkan kadar jenayah.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri I, Superintendan Ismail Dollah dan Timbalan Ketua Polis Daerah II, Deputi Superintendan M Kumaresan.

Noor Hashim berkata, siasatan lanjut mengenai tangkapan sindiket itu diserahkan kepada JSJK Bukit Aman, namun mengesahkan kejayaan tangkapan tahun lalu itu.

Katanya, beliau juga akan memberi fokus kepada aktiviti membanteras kegiatan curi motosikal yang menunjukkan peningkatan berbanding jenayah lain dengan fokus kepada penubuhan Task Force Lejang di kawasan pentadbirannya.

Katanya, berdasarkan statistik kecurian motosikal sepanjang Januari lalu terdapat 39 kes dicatatkan berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Statistik itu menunjukkan peningkatan 15 kes dan sebab itu fokus saya tahun ini untuk melancarkan operasi bersepadu, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Task Force Op Lejang bagi membanteras jenayah ini.

"Saya harap ketua polis balai serta pegawai dan anggota dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap penugasan di lapangan jenayah dapat dibanteras," katanya.

Mengulas lanjut katanya, kejayaan terbaru menerusi Op Lejang berikutan penahanan lima remaja dipercayai kumpulan curi motosikal di Kangkar Puteri dan Gelang Patah dua hari lalu.

"Kita percaya lima remaja ini dari satu kumpulan sama yang mencuri motosikal di dua kawasan terbabit dengan modus operandi membabitkan motosikal tidak dimatikan enjin serta tidak dilengkapi kunci tambahan.

"Kita juga sedang menjalankan siasatan lanjut serta melalukan soal siasatan terhadap kumpulan remaja ini, selain fokus operasi di kawasan panas kecurian motosikal," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Op Lejang katanya, seramai 12 anggota terbabit dalam operasi itu.

Sementara itu dalam amanatnya, Noor Hashim berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anggota dan pegawainya dalam memastikan indeks jenayah menurun bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut.

Katanya, kadar jenayah sepanjang tahun lalu menurun 57 kes atau 5.79 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2016 dan ia hasil kerjasama berterusan anggotanya.

Katanya, turut menurun statistik jenayah kekerasan dan tangkapan penyalahgunaan dadah.

"Sebanyak 800 tangkapan dilakukan sepanjang tahun lalu termasuk 126 pengedar dan 488 pengguna atau penagih dadah membabitkan pelbagai jenis dadah," katanya.

Bagi jenayah komersial, sebanyak 161 tabgkapan membabitkan kes penipuan, pecah amanah, jenayah siber dan wang palsu dengan jumlah kerugian RM2.84 juta tahun lalu.

"Sebanyak 17 individu yang terbabit dalam aktiviti ceti haran sepanjang tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 2:42 PM