Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Institut Jantung Negara (IJN) menjadi hospital pertama di Asia Pasifik yang menggunakan perentak jantung paling kecil dan ringan dikenali sebagai Micra Transcatheter Pacing System (TPS).

Dengan saiz sebesar kapsul vitamin dan berat dua gram saja, Micra TPS adalah peranti terbaru keluaran Medtronic yang dimasukkan ke dalam jantung melalui urat femoral (paha) tanpa perlu sebarang pembedahan.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata, pacemaker kecil itu tidak memerlukan penggunaan wayar yang dikenali sebagai leads untuk disambung ke jantung, tetapi menggunakan alat serampang tines bagi membolehkan pacemaker jantung menghantar denyutan elektrik bertujuan menetapkan kelajuan jantung menerusi elektrod pada akhir pacemaker.

“Micra TPS ini bertujuan membantu mengembalikan rentak jantung kepada normal dan mengekalkan denyutan pada kadar yang sesuai khusus bagi individu mempunyai masalah bradikardia iaitu jantung tidak boleh mengepam darah yang membawa oksigen mencukupi ke seluruh tubuh semasa aktiviti normal.

“Tidak seperti perentak jantung biasa dan konvensional, Micra TPS direka lebih kecil iaitu sebesar kapsul vitamin dilengkapi dengan teknologi paling maju melalui pendekatan invasif minimum,” katanya dalam sidang media di IJN, semalam.


Kakitangan IJN menunjukkan alat perentak jantung paling kecil yang dikenali sebagai Micra TPS.

Turut hadir, Ketua Pegawai Klinikal IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, Pengarah Klinikal Intervensional Elektrofisiologis dan Peralatan Implan IJN Dr Azlan Hussin dan Pengarah Kumpulan Medtronic Asia Pasifik David Cleghorn.

Sementara itu, Dr Azlan berkata, alat itu direka bagi memberikan teknologi pacemaker terbaru kepada pesakit melalui pendekatan invasif yang minimum berbanding pacemaker jantung tradisional.

“Untuk generasi pertama, kita berjaya implan Micra TPS terhadap 200 pesakit dan hasilnya semua menunjukkan tanda positif dengan yang pertama dikendalikan IJN pada 18 Mac 2014 manakala generasi kedua perentak jantung itu diimplan terhadap 20 pesakit.

“Kami berbangga IJN dipilih dalam kalangan kumpulan institut elit yang mengambil bahagian dalam percubaan klinikal global ini dan sudah melatih lebih daripada 200 pakar perubatan di rantau Asia Pasifik antaranya Jepun, Korea, Hong Kong, Australia, New Zealand, Taiwan, India, Scotland dan Asia Tenggara mengenai perentak jantung dan kardiak terapi defibrilator,” katanya.

Katanya, implan Micra TPS tidak memerlukan pembedahan di dada dengan jangka hayat baterinya tahan sehingga lapan tahun.


DR Mohd Azhari (dua dari kiri) bersama Dr Azlan (tengah) dan David (kiri) pada sidang media di IJN, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 5:29 AM