MOHD Zaidi Abdullah. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana dan Recqueal Raimi
am@hmetro.com.my


TINDAKAN dua lelaki yang bergaduh di kaunter Balai Polis Kota Belud kerana saling tuduh-menuduh apabila cermin kereta masing-masing pecah 'menerima padah' apabila keduanya ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, Kota Belud, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, kedua-dua suspek mabuk selepas minum arak bersama rakan masing-masing di Kampung Dundau, Kota Belud.

Menurut sumber, ketika kedua-dua lelaki itu bersama rakan beredar, suspek kedua mendakwa melihat rakan suspek pertama seperti membaling batu ke arah kenderaannya.

"Ketika hendak memasuki kereta, suspek kedua mendapati cermin kereta hadapannya pecah dan mengesyaki rakan suspek pertama memecahkan cermin kereta miliknya.

"Suspek kedua dalam keadaan mabuk datang ke Balai Polis Kota Belud untuk membuat laporan polis berkenaan kejadian itu.

"Pada masa sama, suspek pertama turut datang ke balai untuk membuat laporan polis kerana cermin di bahagian sebelah pemandu lorinya, pecah," katanya di Kota Belud, hari ini.

Sumber berkata, kedua-dua suspek kemudian terserempak dan mereka bertengkar di balai polis dalam keadaan mabuk.

"Pertengkaran menjadi tidak terkawal apabila kedua-dua mereka bergaduh menyebabkan anggota yang bertugas terpaksa menahan kedua-dua suspek.

"Kedua-dua suspek ditahan oleh polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut," katanya.


MOHD Zaidi Abdullah. FOTO arkib NSTP

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kedua-dua suspek berusia 23 dan 33 tahun ditahan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 4:22 PM