Lelaki meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan ketika melintas jalan berhampiran simpang Taman Warisan, Lahad Datu. FOTO/ Ainul Durmahyanty Durming
Ainul Durmahyanty Durming
hmkk@hmetro.com

SEORANG lelaki meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan ketika melintas jalan di Kilometer 6, Jalan Lahad Datu-Tungku berhampiran simpang Taman Warisan, di Lahad Datu, hari ini.

Dalam kejadian 6.20 pagi itu, mangsa dikenal pasti sebagai Mazlan Ahmad, 22, dan berasal dari Kampung Sabah Baru, Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, sebelum kejadian, mangsa yang tidak bekerja dipercayai melintas jalan di kawasan itu.

Beliau berkata, kenderaan yang dalam perjalanan dari arah Tungku ke pekan Lahad Datu tidak sempat mengelak lelaki itu lalu merempuh mangsa.

“Akibatnya, lelaki itu tercampak ke bahu kiri jalan.

“Orang ramai yang melihat kejadian segera menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan.

“Bagaimanapun, mangsa yang parah di kepala dan patah bahu kanan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

Bagaimanapun katanya, pemandu kenderaan terbabit dipercayai melarikan diri dari tempat kejadian.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian berpunca daripada tindakan lelaki itu yang secara tiba-tiba melintas jalan.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Polis turut meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kenderaan yang dipercayai melanggar mangsa.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke Balai Polis Lahad Datu ataupun menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Kemil Rahmat 089-881255,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 3:58 PM