Nasrawati Syariffuddin
hmkk@hmetro.com.my


PELANCONG lelaki warga China, 41, ditahan polis selepas merokok dalam tandas pesawat AirAsia yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau, semalam.

Menurut sumber, sebelum kejadian, lelaki itu dikatakan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) menuju ke Tawau, pada 11 pagi.

Katanya, kira-kira 12.30 tengah hari, lelaki itu dikatakan pergi ke tandas dan merokok, sehingga mengaktifkan sistem penggera asap.

"Kapten kapal yang menyedari kejadian segera mengarahkan kru pesawat untuk memeriksa tandas sebelum mendapati seorang lelaki berada di dalamnya dan sedang merokok.

"Kru mengarahkan lelaki itu berhenti merokok dan mengambil puntung rokok terbabit," katanya.

Tambahnya lagi, kapten kapal kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia Tawau.

"Lelaki terbabit ditahan polis sejurus pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Tawau pada 1.47 tengah hari," katanya.

Difahamkan, lelaki itu menaiki pesawat itu bersama 10 rakan senegara untuk ke Tawau, sebelum mereka mahu ke Pulau Pom-Pom, Semporna.

Lelaki itu dipercayai berasal dari wilayah Yunnan, China dikatakan mahu melancong ke pulau berkenaan selama dua hari dan dijangka pulang ke negara asal, Sabtu ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Sekysen 100 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016

kerana merokok di dalam pesawat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 3:28 PM