Muhammad Airel Haziq yang cedera di kepala dan patah pergelangan tangan dipangku ibunya sementara menunggu bantuan daripada APM. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


KANAK-KANAK lelaki, 9, cedera di kepala dan patah pergelangan tangan selepas dilanggar motosikal ketika menunggang basikal di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Pinang, Alor Setar, malam semalam

Mangsa, Muhamad Airel Haziq Md Nasir kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu untuk mendapatkan rawatan.

Pegawai Perhubungan Awam APM Kedah, Leftenan (PA) Muhammad Hilmi Yaakob berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.34 malam berhubung kejadian kemalangan membabitkan kanak-kanak itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota APM Kubang Pasu tiba di lokasi jam 7.46 malam bersama tiga anggota diketuai Nor Hasruddin Hassan bersama sebuah ambulans APM untuk memberikan bantuan.

"Setibanya di lokasi, didapati mangsa berada di atas pangkuan ibunya dan mengalami kecederaan di kepala dan patah pergelangan tangan kiri.

"Berikutan itu, anggota kami kemudian  memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya ke HSB untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 7:56 AM