RICHARD (dua kiri) menyampaikan sijil pelantikan kepada Kok Wing (dua kanan). Turut bersama, Idris (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas (kiri). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hnetro.com.my


PENGASAS dan Presiden Universiti Limkokwing, Prof Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing dilantik sebagai Penasihat TVET Malaysia.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Richard Riot ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan TVET Malaysia Peringkat Menteri di Cyberjaya, hari ini.

Richard berkata, pemilihan ikon pendidikan negara itu adalah sebagai mengiktiraf sumbangan signifikan Kok Wing terhadap pembangunan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di negara ini.

"Menerusi pengenalan TVET Malaysia, sumbangan Kok Wing dilihat semakin besar terutama dari segi penjenamaan," katanya.

Pada masa sama, Richard berkata, mesyuarat turut bersetuju menubuhkan entiti khusus TVET dikenali Majlis TVET yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Majlis TVET adalah sebahagian daripada Majlis Modal Insan (MMI) dan ia kelak akan membantu melonjakkan TVET di negara ini.

"MMI pula adalah satu unit di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dimana Perdana Menteri juga adalah pengerusi. MMI berperanan merancang dalam pembangunan dan pengurusan sumber manusia," katanya.

Dalam pada itu, katanya, mesyuarat hari ini jugaadalah satu manifestasi terhadap kesediaan semua pihak berkaitan untuk bekerjasama dalam mengarusperdanakan TVET seperti digariskan oleh Najib ketika pelancaran TVET Malaysia serta ucapan Bajet 2018.

"TVET Malaysia adalah satu penjenamaan semula program dan inisiatif latihan teknikal dan vokasional sepertimana dilancarkan Perdana Menteri pada 27 September tahun lalu di ADTEC Shah Alam, Selangor.

"Kerajaan juga menunjukkan komitmen tinggi bagi pelaksanaan TVET Malaysia dengan memperuntukkan RM4.9 bilion menerusi Bajet 2018," katanya.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan.

Richard berkata, mesyuarat hari ini menyaksikan penyertaan kesemua tujuh kementerian berkaitan TVET sekali gus mencerminkan komitmen mereka dalam memperkasakan pendidikan berkenaan di negara ini.

"Komitmen itu selaras dengan aspirasi kerajaan dalam mempertingkatkan peratusan pekerja mahir negara kepada 35 peratus pada 2020 berbanding 28 peratus ketika ini," katanya.

Sementara itu, ditanya berhubung isu larangan bertudung terutama berhubung sikap Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang seolah-olah tidak berminat untuk menangani isu itu, Richard berkata, masih terlalu awal untuk memberi reaksi berhubung isu tersebut.

"Ini memandangkan pihak kementerian pun mengeluarkan kenyataan penuh pada minggu lalu berhubung isu larangan bertudung ini jadi, masih terlalu awal untuk kita berkata apa-apa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 11:18 PM