Halizatulakema bersama barisan kepimpinan Srikandi KMN333. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


SRIKANDI Kesatuan Melayu Nasional (KMN333) akan mengaktifkan kempen tatasusila Melayu di media sosial untuk membantu usaha pihak berwajib meningkatkan perpaduan rakyat di negara ini.

Presidennya, Halizatulakema Lias, 40, berkata, sesuai dengan kecanggihan teknologi semasa, pihaknya akan 'berforum' dengan ahli di laman sosial khususnya kumpulan WhatsApp dengan pelbagai informasi terutama berbentuk ilmiah.

Katanya, Srikandi KMN 333 menerima maklum balas daripada ahli di seluruh negara mengenai kempen berkenaan yang dirasakan wajar dimulakan dengan menggunakan pelbagai platform media sosial untuk manfaat bersama.

"Saya rasa, menjadi tanggungjawab Srikandi KMN 333 untuk mewar-warkan perkara ini. Ruang yang ada akan digunakan sebaiknya untuk menyebarkan mengenai tatasusila, budi bahasa dan tamadun Melayu yang dulunya unggul, tanpa mengira apa juga fahaman politik.

"Kita juga akan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan lain termasuk yang berbaiah kerana mereka ini konsisten dalam membawa semangat perpaduan untuk agama, bangsa dan negara," katanya kepada Harian Metro.

Halizatulakema berkata, ketika ini Srikandi KMN 333 mempunyai 100 orang ahli di setiap negeri dan mereka bersiap sedia untuk memainkan peranan sebagai penyebar agenda perpaduan bangsa secara berterusan.

Katanya, turut diberi perhatian ialah penerapan nilai murni termasuk perkongsian ilmu bersama pihak terbabit seperti ahli akademik, agamawan dan tokoh budaya menerusi program yang dirancang pada tahun ini.

"Kita melihat perpecahan akibat perbezaan politik makin ketara dan beberapa pemimpin negara juga dilihat bertelagah sesama sendiri demi menegakkan ideologi masing-masing.

"Justeru, kita perlu mencari titik tengah kepada permasalahan ini kerana kita ada persamaan, kita cuba gerakkan sebaik mungkin dan berharap ia turut disokong anggota masyarakat serta pemimpin pelbagai peringkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 10:02 PM