Kereta dipandu suspek terbabas dan terjunam ke dalam parit. FOTO ihsan pembaca
Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my


TERKEJUT disergah, seorang pencuri bukan saja gagal melarikan enjin bot malah kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Kampung Sungai Daling Luboh, Batu 12, Sandakan, pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, suspek bagaimanapun sempat meloloskan diri dengan meninggalkan Perodua Viva di dalam parit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan mendapati suspek disyaki cuba mencuri enjin sangkut milik seorang nelayan berusia 52 tahun sebelum disedari anak mangsa.

“Mangsa terjaga apabila terdengar jeritan anak lelaki berusia 30 tahun memberitahu ada pencuri yang mengangkat enjin bot milik mereka.

"Pada masa sama, suspek yang terkejut dengan jeritan itu kemudian membuang enjin bot yang diangkatnya lalu melarikan diri dengan memandu Perodua Viva," katanya ketika dihubungi.

Abdul Fuad berkata, pengadu bersama anaknya bertindak mengejar kereta suspek.

“Kereta dipandu suspek terbabas dan terjunam ke dalam parit namun dia sempat melarikan diri.

"Susulan kejadian, pengadu memaklumkan kepada polis. Sepasukan polis yang tiba membawa kereta suspek ke Balai Polis Sandakan untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati kereta dipandu suspek adalah milik sebuah agensi sewa kereta di Sandakan dan disewa oleh seorang lelaki tempatan sejak semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379/ 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 8:12 PM