Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


LELAKI ditahan di Johor Bahru kerana menyamar sebagai pegawai kastam dengan menjadikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai 'alat' untuk mendapat wang mudah.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia KDM Datuk Seri T Subromaniam berkata, penahanan lelaki berusia 42 tahun di rumahnya di Taman Pulai Utama, Johor Bahru, minggu lalu, selepas siasatan mendapati dia terbabit dalam dua kes penipuan di Johor.

“Di Johor sudah ada tangkapan (menyamar pegawai Kastam) membabitkan seorang lelaki dengan dua kes penyamaran minggu lalu.

“Isunya, saya nak minta kerjasama orang awam. Kalau ada individu mengatakan dia pegawai kastam, perkara pertama perlu diminta ialah kad kuasa,” katanya.

Menurutnya, setiap pegawai kastam mempunyai kad kuasa masing-masing dan wajib dibawa ke mana saja.

“Jangan percaya (jika tidak tunjuk kad kuasa), malah mereka (pegawai) tidak dibenar mengambil wang ketika berjumpa pelanggan.

“Kalau nak bayar, jangan buat bayaran di situ, sebaliknya datang ke pejabat.

“Tidak mungkin kita minta wang tunai ketika bertugas,” katanya selepas majlis menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian termasuk beras dan minyak masak sempena Program Khidmat Bakti Masyarakat JKDM di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Serampang, Bukit Indah, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi perbuatan kastam 'palsu' yang berlagak seperti pegawai kastam dan menjadikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai ‘alat’ untuk menipu mangsanya.

Dalam kes itu, mangsa membongkar kegiatan pegawai kastam palsu berkenaan pabila dia yang juga pemilik syarikat pengangkutan diberitahu oleh Jabatan Kastam syarikatnya masih belum menjelaskan bayaran GST sedangkan dia sudah membayar kepada suspek.

Menurut Subromaniam, seorang mangsa lelaki itu kerugian kira-kira RM373,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 3:20 PM