PENDUDUK Kampung Kalong terpaksa meredah air banjir selepas jalan utama ke kampung tersebut dinaiki air banjir di Sungai Miang. FOTO Farizul Hafiz Awang
Nor Shayaumil Qhairil Eemann
am@hmetro.com.my


BANJIR yang melanda Pahang dan Johor pada masa ini dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat berdasarkan keadaan awan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh berkata, berdasarkan keadaan semasa, awan tebal akan menurunkan hujan lebat yang akan menyebabkan banjir di beberapa negeri.

"Dalam minggu depan, kita jangkakan hujan akan turun dengan lebat kerana masih ada awan yang tebal dan kita berharap penduduk sentiasa berjaga-jaga serta patuh kepada arahan keselamatan.

"Fenomena ini adalah urusan Allah S.W.T, namun kita sebagai manusia hanya boleh meramalkan sahaja," katanya ketika ditemui media selepas pelepasan Nature Fun Ride 2018 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Dr Hamim Samuri di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Md Nasir berkata, pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandar Pekan, Parcel 1 di Pahang kini sudah 70 peratus siap.

"Bagi daerah Rompin, RTB masih lagi dalam perbincangan dan dijangka akan dimulakan pada tahun depan.

"Pembinaan RTB ini akan dapat mengelakkan kejadian banjir terutama di kawasan yang rendah termasuk berhampiran dengan Sungai Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 12:13 PM