BOMBA dan APM memulakan operasi membawa turun mangsa seawal jam 8 pagi. FOTO Ihsan APM
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


USAHA membawa turun mangsa yang dikhuatiri maut selepas terjatuh di puncak Gunung Nuang, Hulu Langat, Kajang, bermula 8 pagi tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, pengesahan kematian hanya akan dilakukan di kaki Gunung Nuang sebaik tiba.

“Dijangka usaha membawa turun mangsa mengalami kesukaran kerana cuaca tidak baik.

‎"Bagaimanapun, anggota kami bersiap sedia di Kem Lolo untuk mengambil mangsa seterusnya membawanya ke Hospital Serdang," katanya.

‎Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari semalam itu, mangsa yang berusia 40-an dikatakan mendaki gunung berkenaan bersama beberapa rakannya.

‎Mangsa dilaporkan tergelincir sebelum terjatuh ke dalam gaung dengan kedalaman kira-kira 100 meter.

‎Sementara itu, kawasan pendakian di kawasan Taman Eko Rimba Gunung Nuang ditutup sementara mulai hari ini kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.

‎Jabatan Perhutanan Selangor dalam satu kenyataan berkata, segala aktiviti adalah dilarang sama sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 10:43 AM