Keluarga lelaki dan perempuan bergambar kenangan. FOTO Mohd Sah Muda
Mohd Sah Muda
am@hmetro.com.my


PUSAT Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu hari ini meriah dengan majlis pertunangan seorang daripada mangsa banjir yang dipindahkan dari Kampung Tenglu Besar, Mersing, Johor.

Majlis pertunangan Siti Hafizah Mohd Yusoff, 23, dengan jejaka pilihannya Muhammad Syazwan Zawavi, 27 terpaksa dilangsungkan di PPS berkenaan berikutan rumah keluarga wanita itu masih banjir.

Ibunya, Norrina Normat, 41, berkata majlis pertunangan anak kedua daripada tujuh beradik itu sepatutnya diadakan minggu lalu namun terpaksa ditunda ke semalam kerana terpaksa berpindah ke PPS SK Tenglu sejak Rabu lalu.

"Walaupun dilangsungkan di PPS, kami bersyukur kerana semuanya berjalan lancar malah majlis ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk pengurusan sekolah.

"Saya juga gembira kerana penduduk kampung yang ditempatkan di sini turut mengambil bahagian menjayakan majlis dengan memasak secara goyong-royong untuk dijamu kepada keluarga pihak lelaki yang datang dari Johor Bahru," katanya.

Norrina turut berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis pertunangan anaknya termasuk guru dan jawatankuasa banjir di PPS Tenglu yang memastikan majlis berjalan lancar.

Pada majlis itu, pihak lelaki menghantar tujuh dulang dan dibalas oleh pihak perempuan dengan sembilan dulang.

Ibu Muhammad Syazwan, Rosilawati Jaafar, 45, menyarungkan cicin kepada bakal menantunya, manakala pihak perempuan diwakili Ketua Kampung Tenglu Besar, Daud Ahmad.

Sementara itu, Muhammad Syazwan berkata, dia berkenalan dengan Siti Hafizah melalui laman sosial sejak lima bulan lalu dan bersyukur hubungan mereka bakal ke jinjang pelamin.

"Saya tidak sangka perkenalan yang begitu singkat membolehkan saya mengambil keputusan untuk bertunang dan seterusnya berkahwin dalam masa tidak sampai setahun lagi," katanya yang bekerja kilang di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 7:25 PM