Mesej yang tular hari ini.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


JABATAN Meteorologi Malaysia (JMM) menafikan tular berkaitan suhu terendah yang tersebar luas melalui media sosial, hari ini.

Ketua Pengarahnya Alui Bahari berkata, suhu minimum yang direkodkan hari ini ialah 21 darjah celsius di Mersing, Johor dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan manakala kawasan lain pula sekitar 22 darjah celsius yang kebiasaannya pada waktu pagi.

“Keadaan ini berlaku berikutan cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan tiupan angin sejuk monsun timur laut yang dijangkakan akan berterusan sehingga esok.

“JMM menafikan mengenai penularan mesej berkenaan yang mengatakan Malaysia mengalami penurunan suhu berikutan hujan tanpa henti di beberapa kawasan barat disebabkan perubahan tolakan angin monsun dari Filipina dan menasihatkan orang ramai memakai baju tebal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini berlaku penyebaran maklumat di aplikasi Whatsapp mengatakan Malaysia mengalami penurunan suhu antara 18 hingga 24 darjah celsius di semua negeri dan Kundasang, Sabah mencatatkan suhu terendah iaitu 14.2 darjah celsius manakala Kuala Krai (17.3), Alor Setar (18.3), Kuala Terengganu (19.1) dan Bintulu (19.6).

Alui berkata, cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan di Segamat, Mersing, dan Kota Tinggi di Johor serta daerah Rompin, Pekan dan Kuantan di Pahang.

“Amaran cuaca buruk ini adalah bagi tempoh sehingga tengah malam ini dan pada masa sama kebanyakan negeri di Semenanjung sedang mengalami suhu rendah berbanding kebiasaan berikutan cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan tiupan angin sejuk monsun timur laut dijangka berterusan sehingga esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 3:16 PM