AIR naik di di Air Papan, Mersing, semalam. FOTO Mohd Sah Muda
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


MANGSA banjir di Segamat dan Mersing meningkat kepada 527 mangsa membabitkan 126 keluarga di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 7 pagi hari ini

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata bilangan berkenaan meningkat berbanding 244 mangsa membabitkan 58 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS, 11 malam tadi.

Beliau berkata, antara kawasan yang terjejas di Segamat termasuk Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh Tengah dan Kampung Tekam.

Menurutnya, 54 mangsa banjir membabitkan 14 keluarga ditempatkan di PPS di Balairaya Gemereh 4 Batu Badak; 10 mangsa membabitkan dua keluarga ditempatkan di Balairaya Kampung Pogoh Tengah.

Katanya, manakala 29 mangsa membabitkan 3 keluarga ditempatkan di Kompleks Penghulu selain empat mangsa membabitkan sebuah keluarga ditempatkan di Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam.

"Manakala di Mersing antara kawasan terjejas termasuk Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Papan, Kampung Baru Jemari, Kampung Sg Muka Duadan Kampung Orang Asli Labong.

"Seramai 51 mangsa membabitkan 12 keluarga ditempatkan di Kampung Tenglu Besar dan seramai 71 mangsa membabitkan 18 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan.

"Seramai 76 mangsa membabitkan 20 keluarga ditempatkan di SK Agama Pengkalan Batu.

"Manakala 123 mangsa membabitkan 34 keluarga ditempatkan di SK Agama Mersing Kanan dan seramai 109 mangsa membabitkan 22 keluarga ditempatkan di SK Labong," katanya.

Ayub berkata, laluan Telok Arong ditutup akibat runtuhan cerun dan pengguna jalan raya dinasihat menggunakan laluan alternatif Jalan Tanjung Resang, Jalan Mersing-Endau dan Jalan Air Papan.

"Agensi berkaitan dengan kerjasama pejabat daerah Mersing dan Segamat meneruskan pemantauan di kawasan terjejas," katanya menerusi kenyataan media.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 9:28 AM