Ketulan ais di puncak Gunung Kinabalu yang berlaku pada Isnin lalu. FOTO ihsan Malim Gunung Kinabalu
Poliana Ronnie Sidom
hmkk@hmetro.com.my


CUACA sejuk dengan suhu mencapai -1 dan -2 darjah Celsius di Gunung Kinabalu menyebabkan air yang bertakung bertukar menjadi ketulan ais.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan berkata, keadaan air bertukar menjadi ketulan ais itu dilaporkan berlaku pada Isnin lalu.

Beliau berkata, kejadian ketulan ais yang berlaku di puncak Gunung Kinabalu, bukan selalu berlaku.

"Bagaimanapun, kadang-kadang fenomena ini boleh berlaku dalam dua hingga tiga kali setahun.

"Ketulan ais yang ditemui di puncak Gunung Kinabalu itu hanya berlaku satu hari, pada Isnin lalu.

"Tahun lalu pun ada berlaku (air berubah kepada ketulan ais) pada Ogos," katanya hari ini.

Junaydie berkata, suhu di puncak Gunung Kinabalu ketika ini masih terlalu sejuk antara tiga hingga lima darjah Celsius.

Katanya, apabila terlalu sejuk, bukan hanya berlaku ketulan ais, malahan serpihan atau serbuk dari ais beku turut terbang dan boleh dilihat pada daun seolah-olah salji.

"Tapi yang dilihat itu bukan salji, sebaliknya cuma serpihan atau serbuk dari ais beku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 8:40 PM