ANGGOTA PPM menunjukkan rokok seludup yang dirampas. Antara rokok seludup yang ditemui di dalam stor (gambar kecil). FOTO Ihsan PPM Wilayah Dua Johor
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas 146 karton mengandungi 26,080 batang rokok seludup pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah stor di Ulu Tiram, malam semalam.

Dalam serbuan pada 8 malam itu, polis menemui rokok kretek dan rokok putih itu disembunyikan dalam beberapa kotak dalam stor berkenaan.

Komandernya Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan dibuat selepas pemantauan dibuat ke atas stor berkenaan yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan rokok seludup.

"Selepas pemerhatian selama sejam, anggota terpaksa memecahkan pintu stor itu kerana tiada orang yang datang.

"Hasilnya, kita menjumpai sejumlah rokok kretek dan rokok putih tidak sah disembunyikan dalam beberapa kotak," katanya.

Menurutnya, tiada tangkapan dibuat, namun pihaknya merampas 146 karton rokok itu yang dianggarkan bernilai RM13,888.73.

Katanya, semua barang rampasan itu dibawa ke Pangkalan PPM Wilayah 2 untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 3:17 PM