ANGGOTA polis mengiringi dua lelaki selepas mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh terhadap pertuduhan memiliki 15 keping sijil cuti sakit klinik kesihatan palsu. FOTO Khairunisah Lokman
Salman Hamat
salman@hmetro.com.my


DUA lelaki mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki 15 keping sijil cuti sakit klinik kesihatan palsu, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Yusran Jusoh, 19, dan Muhammad Raman Omar, 21, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Muhammad Yusran, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini, berdepan lima pertuduhan iaitu memiliki lima keping sijil cuti sakit palsu dengan niat untuk menggunakan sijil cuti sakit berkenaan sebagai tulen di depan stesen minyak Petron Peringgit, 9.10 malam, 4 Disember lalu.

Manakala, Muhammad Raman seorang penjaga stor didakwa memiliki 10 keping sijil cuti sakit palsu dengan niat untuk menggunakan sijil cuti sakit berkenaan sebagai tulen di sebuah rumah di Jalan Melati 3, Taman Peringgit Jaya, 10.10 malam, 4 Disember lalu.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban, yang mengendalikan kes, mencadangkan mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh selepas mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, Muhammad Yusran diwakili peguam Fahmy Sulaiman manakala Muhammad Raman, diwakili peguam Sulaiman Harmain Shah, masing-masing memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana ini adalah kesalahan pertama dilakukan kedua-dua tertuduh.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norma dalam penghakimannya menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 8:47 PM