Tiga wanita yang dipercayai berpakat mencuri pek makanan tambahan di sebuah farmasi berjaya dirakam CCTV. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


TIGA wanita dipercayai Geng Kangkang yang didakwa pernah mencuri di beberapa negeri dikesan mengambil tiga pek makanan tambahan bernilai RM400 di farmasi di Simpang Balai Polis Dungun, kelmarin.

Mereka didakwa ke farmasi berkenaan dengan kereta dipandu seorang lelaki kira-kira 4.30 petang.

Dua daripada mereka kemudiannya berpura-pura bertanyakan jenis ubat kepada dua pekerja farmasi terbabit manakala seorang lagi ke bahagian rak jualan.

Kehadiran mereka itu kemudiannya menimbulkan curiga kepada pengurus farmasi terbabit yang berada di dalam pejabatnya sebelum keluar dan bertindak mengekori seorang daripadanya yang sedang berpura-pura mencari ubat di kawasan rak jualan.

Pengurus farmasi itu, Noor Amiza Ismail, 32, mendakwa dia mengesyaki kumpulan wanita berkenaan yang berusia lingkungan 40-an itu adalah Geng Kangkang seperti yang pernah ditularkan di media sosial oleh rakan farmasi lain.

Menurutnya, mungkin sudah menyedari kegiatannya berjaya dikesan, mereka segera membuat bayaran ubat bernilai RM10 sebelum bergegas keluar.

Katanya, dia segera membuat pemeriksaan di rak jualan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sejurus kumpulan wanita itu beredar sebelum mendapati tiga pek makanan tambahan di premisnya itu bernilai RM400 sudah hilang.

"Hasil penelitian terhadap CCTV mendapati wanita berkenaan memasukkan pek barang terbabit di dalam skirt labuh dipakainya.

"Saya sebenarnya sudah sedia maklum berkaitan dengan kegiatan kumpulan terbabit yang didakwa giat mencuri sejak 2012.

"Dipercayai mereka ini adalah geng yang sama dan pernah dilaporkan mencuri di Perak pada Jun, Johor (Oktober) dan November lalu di Kedah.

"Saya berharap agar orang ramai serta pemilik farmasi yang lain agar lebih berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa kumpulan terbabit.

"Saya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Dungun untuk tindakan lanjut mengenai kegiatan kumpulan terbabit," katanya ketika ditemui di premisnya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 6:55 PM