Anggota bomba dan penyelamat membawa mayat yang ditemui di persisiran Sungai Klang. FOTO ihsan bomba
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


MAYAT wanita yang terjun dari Jambatan Connaught, Bukit Kuda, Klang, Isnin lalu, ditemui 12.30 tengah hari, hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, anggotanya yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat menemui mayat wanita itu di pesisiran Sungai Klang.

"Operasi hari ketiga yang diketuai Pegawai Bomba Kanan, Zulalim Mahful menemui mayat mangsa kira-kira 10 kilometer dari jambatan itu.

"Mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut," katanya.

Isnin lalu, Harian Metro melaporkan seorang wanita sempat menghubungi ahli keluarganya sebelum terjun sungai di jambatan berkenaan.

Wanita berusia 38 tahun dan pemilik salun di Kampung Jawa, Klang itu bertindak demikian dipercayai kerana mengalami tekanan perasaan.

Menurut adik ipar wanita itu, suami mangsa kini berada di Penjara Sungai Buloh dan mereka mempunyai tiga anak dengan dua daripadanya menghidap Sindrom Down.

Berita berkaitan

Terjun sungai ada buaya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 6:55 PM