Skuad Khas HM
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan memecat serta memenjarakan kakitangan serta pegawai imigresen yang menjadi tali barut sindiket membawa masuk pendatang tanpa izin Bangladesh menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tindakan itu pernah diambil tahun lalu apabila anggota dan pegawai imigresen di KLIA ditahan bersekongkol dengan sindiket membawa masuk pendatang tanpa izin.

“Kita tidak menolak kemungkinan tindakan sama akan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam isu itu.

“Malah, pada masa ini menerusi kerjasama dengan polis serta imigresen sendiri, kita sudah mengenal pasti siapa dalang dalam kalangan imigresen yang terbabit dengan sindiket itu," katanya dalam sidang media yang diadakan di Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kuala Lumpur sebentar tadi.

Nur Jazlan berkata, beliau secara peribadi kecewa dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan menyifatkan tindakan anggota serta pegawai imigresen terbabit sebagai pengkhianatan terhadap negara.

"Mereka ini memang pengkhianat kepada negara kerana kita meletakkan kepercayaan namun mereka khianatinya.

"Jadi, kita sudah mengarahkan agar JIM mengambil pendekatan holistik bagi melihat kelompongan yang ada dalam skop tugas mereka terutama di pintu masuk KLIA.

"Ini termasuklah melihat semula ruang yang boleh digunakan anggota mahupun pegawai JIM untuk menjalin kerjasama dengan sindiket yang menyeludup pendatang," katanya.

Berita berkaitan

Ketatkan kawalan di KLIA

Pegawai imigresen kena tahan

Siasat rangkaian sindiket

RM5.2 juta seludup hamba moden [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 6:41 PM