i-Band memainkan lagu cover ‘Sambutlah Kasih’ yang tular di laman sosial.
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


MASIH bergelar kanak-kanak dan mempunyai pemain gitar perempuan menjadikan kumpulan dinamakan i-Band unik dan menarik perhatian ramai setiap kali beraksi dengan alat muzik di atas pentas.

Membanggakan apabila mereka baru setahun mempelajari cara mengendalikan alat muzik masing-masing sebelum bakat mereka ditonjolkan dalam penyertaan beberapa pertandingan di seluruh negara.

Kumpulan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Panglima Adnan, Port Dickson itu juga tular di laman sosial sejak minggu lalu menerusi video mereka memainkan lagu cover ‘Sambutlah Kasih’ nyanyian Lovehunters.

Pengasas i-Band, Suardi Hazali Ismail, 37, berkata, i-Band dianggotai oleh Muhammad Faris Akmal Suardi Hazali (bass), Muhammad Akmal Aiman Ismail (vokalis), Siti Suhada Norhayat (gitar utama), Muhammad Syahdani Suhaimi (gitar) dan Anas Aswad Anas Azimad (drum).

Mereka semua berusia 10 tahun kecuali Anas Aswad berumur 12 tahun.

Katanya yang juga guru di sekolah berkenaan, i-Band menjadi kumpulan keempat yang diasah bakat mereka di sekolah itu sejak tujuh tahun lalu.

"Kumpulan ini dilahirkan berdasarkan minat mereka sendiri yang tampil untuk belajar muzik. Rata-rata murid ini belajar bermain muzik daripada 'zero' sampailah tahu kod-kod muzik.

"Alhamdulillah, mereka yang saya pilih dan didik ini berjaya mendapat tempat pada pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri setiap tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Suardi, i-Band antara kumpulan yang unik dengan kehadiran seorang gitaris perempuan selain mempunyai kekuatan tersendiri sehingga menjadi juara Battle of the Band SK tahun ini selepas dua tahun berturut-turut merangkul naib johan.

Katanya, meskipun i-Band masih baru namun kumpulan ini dilihat mampu mengembangkan bakat pada masa akan datang tambahan pula mendapat tunjuk ajar daripada anggota kumpulan lagenda rock, Samudera.

"Setiap persembahan kumpulan Samudera di seluruh negara, i-Band akan turut serta malah buat kali pertamanya i-Band akan mengadakan persembahan sendiri di Kota Tinggi, Johor, 27 Disember ini.

"Lebih menarik, i-Band bakal mempunyai single pertama di bawah syarikat rakaman Rock Records namun ia masih dalam proses perbincangan," katanya yang banyak menerima bantuan 'otai' kumpulan Samudera.

Menurutnya, pemain gitar utama iaitu Suhada antara yang mencuri tumpuan apabila i-Band mengadakan persembahan kerana gayanya yang bersahaja dan tidak kekok dengan anggota lelaki yang lain.

"Dia (Suhada) membawa keunikan dalam band ini dan ramai yang tidak percaya dia baru setahun belajar bermain gitar yang bermula daripada tidak tahu apa-apa tentang gitar.

"Saya yakin i-Band boleh mendapat tempat dalam industri muzik seperti band sebelum mereka iaitu M7 (kini Putera Band) yang memulakan bakat muzik di sekolah ini," katanya  yang juga bapa kepada pemain bass i-Band, Faris.

Suardi berkata, meskipun i-Band semakin sibuk dengan tawaran persembahan, pelajaran tetap menjadi keutamaan dan tidak akan mengganggu waktu pelajaran mereka dengan bantuan sokongan guru serta keluarga murid berkenaan.

Bercerita tentang dirinya, Suardi berkata idea untuk melahirkan murid yang berbakat tercetus apabila dia sendiri mahu mempelajari bermain alat muzik.

"Saya adalah guru Pendidikan Jasmani dan bukan guru muzik. Tetapi pada 2010 saya berminat untuk bermain alat muzik dan belajar bersama-sama anak murid yang turut mempunyai minat yang sama. 

"Pada saya bakat muzik ini tidak boleh dilihat hanya pada sudut negatif sahaja kerana ia boleh mendorong pelajar ke arah aktiviti sihat berbanding terjebak dengan gejala yang tidak berfaedah," katanya.

Kumpulan berkenaan pernah menyertai beberapa kali pertandingan terbuka serta layak menjadi finalis pada saingan yang membabitkan band otai dan kumpulan dewasa.

Video i-Band menyanyikan lagu cover Sambutlah Kasih yang dirakam Mei lalu menjadi tular di laman sosial sejak minggu lalu dan menerima lebih 200,000 tontonan serta pelbagai reaksi netizen.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 11:25 PM