SEBAHAGIAN mangsa dihantar pulang ke kampung masing-masing di daerah Kota Belud. FOTO Ihsan APM
Recqueal Raimi
hmkk@hmetro.com.my


JUMLAH mangsa banjir di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Belud menurun kepada 1,603 orang pada 9 malam, berbanding 1,829 orang, pada 9 pagi tadi.

Ia selepas 226 penduduk daripada lima kampung iaitu Kampung Gunding, Kampung Tanjung Pasir Labuan, Kampung Linau, Kampung Bobot dan Kampung Pompod dibenarkan pulang.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, keempat-empat PPS masih dibuka sehingga kini.

Katanya, PPS itu adalah Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi 2, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud dan Dewan Sekolah Menengah Agama (SMA) Tun Said.

"Mangsa terdiri daripada 688 keluarga dari 22 kampung yang masih terjejas di daerah Kota Belud," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, 226 mangsa banjir yang dihantar pulang adalah mereka yang sebelum ini ditempatkan PPS Dewan SMA Tun Said berikutan banjir yang beransur pulih.

"Berdasarkan pemantauan, keadaan cuaca mendung sepanjang hari ini menyebabkan banjir di lima buah kampung berkenaan semakin surut sebelum penduduk dari kampung berkenaan dibenarkan pulang," katanya.

Kampung yang masih terjejas adalah Kampung Donggoi, Kampung Marajah, Kampung Sadok-sadok, Kampung Sembirai, Kampung Lingkodon, Kampung Lebak Moyoh, Kampung Suang Punggur, Kampung Menunggui dan Kampung Song-song.

Kampung Sangkir, Kampung Karang Benai, Kampung Kota Bungan, Kampung Tawadakan, Kampung Lentigi, Kampung Tanjung Wakap, Kampung Lebak Engad, Kampung Keranjangan, Kampung Rangalau, Kampung Tombol, Kampung Siasai Tamu, Kampung Limatok dan Kampung Kota Belud.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 10:39 PM