GAMBAR hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.myhm

mohdazam@hmetro.com.my/hm

LELAKI warga Nepal maut terjatuh dari tingkat 19 apartment Flora Damansara, Petaling Jaya 11.30 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa ditemui penduduk yang kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

Katanya, anggota polis yang tiba mendapati mangsa sudah meninggal dunia dengan kecederaan di kepala akibat terjatuh ke lantai tingkat satu apartment berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan cuba memanjat masuk ke rumah sewanya di tingkat 19 dari bahagian tepi tingkap.

"Ini berdasarkan kesan paip di bahagian tepi rumah yang patah dipercayai dipijak mangsa," katanya.

Menurut Mohd Zani, tiada unsur jenayah ditemui ditempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 4:38 PM