Dr Mahathir semasa sidang media selepas keluar dari bertemu wakil Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan penjelasan mengenai masalah dalaman parti. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad akui kegagalan PPBM dan DAP menyelesaikan isu dalaman menyebabkan pendaftaran Pakatan Harapan terbantut.

Perkara berkenaan dimaklumkan bekas Perdana Menteri itu selepas menemui Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim di Putrajaya, hari ini.

Mahathir berkata, kegagalan PPBM dan DAP itu menyebabkan usaha mendaftarkan Pakatan Harapan tidak dapat dilakukan.

Beliau berkata, masalah kelewatan itu disebabkan kegagalan parti PPBM untuk mengadakan mesyuarat agung (AGM) dan masalah Jawatankuasa Pemilihan Pusat (CEC) parti DAP.

"Kita menerima penjelasan itu dan akan cuba memperbaiki secepat mungkin kerana kegagalan itu akan menyebabkan Parti Harapan tidak dapat bertanding dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Dr Mahathir dilihat memasuki bangunan KDN bersama Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu pada 10.50 pagi hari ini sebelum keluar kira-kira 45 minit kemudian.

Mereka merancang menemui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan kemelut itu namun tidak kesampaian kerana Ahmad Zahid mempunyai urusan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada Julai lalu Pakatan Harapan mengemukakan permohonan bagi menubuhkan jawatankuasa pilihan raya.

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Muhyiddin manakala wakil daripada parti lain dikenali sebagai timbalan.

Turut dilantik jawatan Biro Penerangan yang disandang oleh Tony Pua, manakala biro guaman, Gobind Singh Deo.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, tujuan mereka berjumpa Ahmad Zahid kerana ingin mengetahui status pendaftaran parti kerana menurutnya kelulusan dibuat di peringkat menteri dan bukannya pegawai.

"Kami akur dengan undang-undang kerajaan dan akan berusaha menyelesaikan masalah dinyatakan itu dengan secepat mungkin.

"Kami juga berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) memberi kelulusan segera kepada Pakatan Harapan kerana kita memerlukan masa bagi membuat persediaan menghadapi pilihan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 3:29 PM