Nor Ashikeen menunggang kuda sambil diringi tujuh pemuda sasa yang juga bekas pelajar di majlis persaraannya sebagai pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, hari ini. FOTO AZAHAR HASHIM
Azahar Hashim
am@hmetro.com.my


MENUNGGANG kuda sambil diiringi tujuh pemuda bertubuh sasa di majlis persaraannya pasti meninggalkan memori indah kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, hari ini.

Nor Ashikeen Saad, 60, yang bersara wajib selepas 37 tahun berkhidmat sebagai guru nyata amat terharu apabila majlis sambutan meriah termasuk diserikan dengan pelbagai persembahan pelajar.

Guru pengelola majlis, Abdul Aziz Ahmad berkata, majlis dibuat dengan kerjasama guru, pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kakitangan sekolah melalui persembahan yang dirancang awal.

Katanya, sambutan ini lebih meriah apabila pengetua diarak menaiki seekor kuda dengan diiringi tujuh ahli kelab X-Fit Gym yang juga bekas pelajar berkenaan.

"Pelbagai acara lain seperti persembahan nasyid, nyanyian, deklamasi sajak serta lompat tali dipersembahkan oleh pelajar.

"Kami berasa bangga apabila dapat menjayakan program ini kepada Nor Ashikeen yang banyak berjaya di SMK Air Merah," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Nor Ashikeen mengakui terharu dengan sambutan yang diberi dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis itu.

"Tugas guru pada masa kini amat mencabar dan saya berharap semua guru di SMK Air Merah dapat meneruskan tugas mulia memberi pendidikan kepada anak bangsa," katanya.

Beliau mula bertugas sebagai guru pada 1980 di SMK Serdang di sini diikuti di SMK Sultan Badlishah selain pernah bertukar ke beberapa sekolah di sekitar daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 9:17 PM