Rohany berjaya menamatkan pengajian apabila menerima ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan kepujian (Sejarah) pada Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, hari ini. FOTO ihsan UMS
Amniera Naziera Amran
am@hmetro.com.my

BEKAS pesakit kanser berjaya menamatkan pengajian apabila menerima ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan kepujian (Sejarah) pada Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, hari ini.

Rohany Gaby, 24, yang terpaksa menggunakan tongkat untuk naik ke pentas ketika majlis konvokesyen itu tidak menyangka dapat menamatkan pengajiannya walaupun pelbagai rintangan ditempuhi.

Rohany berkata, dia memang bergantung pada tongkatnya untuk bergerak sepanjang tiga tahun menuntut di UMS.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, keazamannya memiliki ijazah itu kerana mahu membuktikan bahawa pesakit kanser sepertinya juga boleh berjaya.

"Saya mahu membuktikan pada semua orang bahawa tidak semestinya orang sakit tidak boleh berjaya.

"Sesetengah orang berfikir apabila sakit, mereka terus berputus asa. Namun bagi saya sebaliknya kerana apa yang saya alami adalah pembakar semangat dan saya fokus untuk menamatkan pengajian walaupun kadangkala terpaksa tidak menduduki peperiksaan kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan," katanya ketika ditemui dalam majlis konvokesyen itu, hari ini.

Rohany berkata, walaupun kini dia sudah disahkan bebas daripada kanser tahap empat sejak 2013, namun kesan sampingan rawatan yang dilakukan masih terasa.

"Kini saya masih memerlukan alat bantuan bergerak serta perlukan rehat untuk tempoh lima bulan selepas menjalani rawatan pembedahan tulang paha pada September lalu," katanya.

Terdahulu, Rohany disahkan menghidap kanser tulang ketika berusia 12 tahun dan menjalani pembedahan selain terpaksa mengikuti rawatan kimoterapi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 8:58 PM