BERNAMA

Anaheim (AS): Sistem penyampaian nikotin elektronik (ENDS) seperti e-Rokok, menjejaskan ritma denyutan jantung dan fungsi kardiovaskular tikus, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu penyelidikan yang dibentang pada Ahad dalam Sesi Saintifik Persatuan Jantung Amerika (AHA) 2017 di Anaheim, California.

Selain nikotin, produk e-Rokok biasanya mengandungi propilena glikol dan/atau gliserin sayuran yang sering digunakan untuk mengehadkan kehilangan lembapan dalam losen kulit atau sebagai aditif makanan, namun kesan kesihatan akibat memanas dan menyedut bahan ini tidak diketahui.

Dalam kajian itu yang dibiayai Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat, penyelidik berkata, mereka memeriksa kesan aerosol e-Rokok ke atas kardiovaskular tikus berbanding aerosol rokok tradisional dan mendapati pendedahan kepada aerosol ENDS atau asap rokok tradisional dengan pantas memperlahankan kadar denyutan jantung (bradikardia) tikus.

Penemuan ini menunjukkan pendedahan aerosol ENDS mungkin mencetuskan kesan kardiovaskular, selain meningkatkan risiko ritma denyutan jantung tidak teratur dan penyakit jantung secara keseluruhan.

Oleh itu, kajian lebih lanjut diperlukan untuk meneroka kesan ini ke atas manusia menggunakan ENDS, kata penyelidik terbabit dalam satu siaran media.

Sesi Saintifik AHA, sebuah platform pertukaran kemajuan terkini sains kardiovaskular bagi para penyelidik dan doktor, menarik hampir 18,000 peserta, dengan kehadiran global lebih 100 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 6:03 AM