Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Datin Rohasidah Abas menyerahkan kad OKU JKM kepada Nor Akma Ridzuan, 29, yang dipangku ibunya, Nora Ibrahim, 49, dari Kampung Bukit Nyior Pelong. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


PENANTIAN selama 29 tahun Nor Akma Ridzuan yang lumpuh seluruh badan untuk mendapatkan kad orang kurang upaya (OKU) berakhir apabila menerima kad itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di rumahnya di Kampung Bukit Nyior Pelong, Setiu hari ini.

Lebih menggembirakan apabila JKM turut menyalurkan Bantuan Penjagaan Pesakit Telantar sebanyak RM300 sebulan kepada ibu Nor Akma, Nora Ibrahim, 49.

Menurut Nora, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mereka sehingga membolehkan anaknya yang berusia 29 tahun mendapat kad OKU.

"Nor Akma yang juga anak sulung daripada lima beradik tidak mampu bergerak serta bercakap sejak berusia sembilan bulan selepas diserang demam panas.

"Sudah lama kami menunggu dan hari ini, tercapai juga hasrat itu. Dengan adanya kad OKU ini, ia memberi banyak kemudahan dan manfaat kepada Nor Akma.

"Malah, bantuan penjaga RM300 yang bakal diberikan JKM bermula Januari 2018 depan juga dapat membantu kami menguruskan Nor Akma," katanya ketika Majlis Penyerahan Kad OKU JKM di rumah mereka Kampung Bukit Nyior Pelong, Setiu, hari ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Datin Rohasidah Abas.

Sementara itu, Pegawai JKM Setiu Mohd Khairul Azhar Mat Jurit berkata, prose membuat kad OKU berjalan lancar selepas pihaknya memperoleh nombor kad pengenalan Nor Akma daripada Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN).

"Kami mengakui Nor Akma masih tidak mempunyai kad OKU dan permohonan pernah dibuat bagaimanapun urusan itu tergendala kerana dia tidak mempunyai nombor kad pengenalan sekali gus menyebabkan kad OKU tidak dapat dibuat.

"Hasil kerjasama baik dengan JPN, nombor kad pengenalan Nor Akma diperoleh dan urusan itu diselesaikan segera," katanya.

Menurutnya, JKM turut bersetuju memberikan RM300 Bantuan Penjagaan Pesakit Telantar kepada ibu Nor Akma bertujuan meringankan beban keluarga terbabit.

"Bantuan keperluan termasuk keperluan susu dan lampin pakai buang juga akan dipanjangkan JKM kepada Tabung Darul Iman untuk kegunaan Nor Akma.

"Selain itu, kami akan meneliti lagi bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga itu terutama Nor Akma dari masa ke masa," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri berharap JKM mempertimbangkan kad OKU untuk anak mereka yang lumpuh seluruh tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 6:38 PM