Chow Kon Yeow menafikan kewujudan kawasan letupan kuari kurang 500 meter dari lokasi tanah runtuh pada sidang media. Foto Ramdzan Masiam.
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


KERAJAAN negeri Pulau Pinang menafikan kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mendakwa kawasan letupan tapak kuari terletak kurang 500 meter dari lokasi tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 11 pekerja dalam kejadian Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Lalu Lintas negeri Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati jarak antara kawasan letupan tapak kuari adalah 714.53 meter dari projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Georgetown .

"Peta dibekalkan jurutera Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapati jarak kawasan letupan kuari adalah lebih 500 meter, dan ia lebih selamat berbanding projek lain berhampiran.

"Justeru, jarak berkenaan (714.57 meter) dikategorikan sebagai 'zon selamat'," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Datuk Bandar MBPP, Datuk Maimunah Mohd Sharif.

Terdahulu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mendedahkan projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah itu tidak mendapat sokongan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berikutan ia terletak kurang 500 meter dari tapak kuari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:18 PM