ALI Hamsa (kiri) bersalaman dengan Rashidi. FOTO Bernama
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


DATUK Rashidi Hasbullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) berkuatkuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, pelantikan Rashidi yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC bagi menggantikan Datuk Ab Ghaffar A Tambi.

"Pelantikan Rashidi adalah berdasarkan ciri kepimpinan, kelayakan, pengalaman dan kecekapan yang dimiliki oleh beliau khususnya dalam bidang pengurusan dan pelancongan ketika memegang beberapa jawatan sebelum ini.

"Jawatan berkenaan termasuk Pengurus Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC); Setiausaha Bahagian Bahagian Pengurusan Kementerian Pelancongan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

Ali berkata, Rashidi berkelulusanIjazah Sarjana Muda (Kepujian) dan bidang Sains Pemakanan, Nutrisi dan Dietetik dari Mississippi State University, Amerika Syarikat dan Ijazah dalam bidang pelancongan dari Central Michigan University, Amerika Syarikat.

Katanya, beliau sudah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 26 tahun sejak mula menyertai pada 1 Mac 1991.

"Pada masa sama, bagi pihak kerajaan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Ketua Setiausaha MOTAC atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau selama lebih 36 tahun dalam perkhidmatan awam,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 4:55 PM