HANIZA merayu anaknya Nur Muhammad Adnan yang menghilangkan diri segera pulang. Gambar kecil, Nur Muhammad Adnan yanghilang sejak Ahad. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Mohd Sharumnisham Shahbudin
am@hmetro.com.my


IBU dari Kampung Charok Mokkan, Mukim Hosba, Kubang Pasu merayu anak lelakinya pulang ke pangkuan keluarga selepas menghilangkan diri dari Pusat Tahfiz Darul Ulum Ihyaulumuddin di Alor Setar sejak Ahad lalu.

Haniza Mohamad Arif, 42, berkata, kehilangan Nur Muhammad Adnan, 13, disedari oleh ustaz di tahfiz berkenaan yang menghubunginya memaklumkan perkara itu.

"Kira-kira 10 pagi kelmarin, ustaz terbabit menelefon saya mengatakan Nur Muhammad atau nama panggilannya Abang Cik, tidak hadir ke kelas dan tiada di situ sedangkan dia hadir ke kelas sebelumnya.

"Ini kali keempat Abang Cik melarikan diri daripada tahfiz itu tetapi sebelum ini dia pulang sendiri ke rumah, tetapi kali ini kami tidak tahu dia ke mana.

"Ada kenalan memaklumkan terjumpa anak saya bersolat di Masjid Sharifah Fatimah di Jitra pada Ahad, justeru saya bersama suami, Desa Othman, 46, segera ke situ, tetapi dia sudah tiada," katanya ditemui di Jitra, hari ini.

Menurutnya, mungkin faktor tekanan dalam pengajian membuatkan Nur Muhammad lari kerana anak ketiga daripada lima beradik itu sudah setahun meneruskan pengajian di situ dan tidak pernah memaklumkan masalah yang lain.

Berikutan itu, katanya, satu laporan polis dibuat Balai Polis Jitra, semalam.

"Ramai saudara dan rakan serta kakitangan pusat tahfiz cuba mencarinya termasuk menghubungi kawan rapat anak saya tetapi masih gagal," katanya yang mengaku keluarganya kini tertekan dengan kejadian itu.

Pusat tahfiz berkenaan turut mengadakan solat hajat dua malam berturut-turut bagi memudahkan urusan mereka sekeluarga.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat Nur Muhammad diminta hubungi Haniza di 018-6144428 atau balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 4:54 PM