SUKARELAWAN memuatkan hasil kutipan sumbangan ke dalam kontena untuk dihantar ke kem pelarian Rohingya, di Bangladesh
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

KUTIPAN Bantuan Kemanusiaan untuk Rohingya berjaya mengumpulkan lima kontena barangan keperluan asas dianggarkan bernilai lebih RM300,000 dalam masa dua minggu yang berakhir hari ini.

Program kutipan sumbangan untuk membantu etnik Rohingya terbabit dilaksanakan oleh Tahfiz Al Madrasathul Faridiyah dengan kerjasama rangkaian Restoran Ali Maju serta tiga badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Malaysia Muslim Youth Club (MMYC), Dear Best Friend (DBF) dan Maju Boyz.

Penasihat Tahfiz Al Madrasathul Faridiyah, Dr Noohul Basheer berkata, pihaknya akan menyerahkan hasil sumbangan terbabit kepada pelarian Rohingya yang kini lebih setengah juta terpaksa berlindung di Bangladesh.

"Hasil pelaksanaan program ini kami berjaya mengumpulkan lima kontena barangan keperluan asas terdiri daripada kelengkapan pakaian, makanan dan minuman yang disumbangkan oleh masyarakat di negara ini bagi membantu meringankan beban pelarian Rohingya di Bangladesh.

"Bagi peringkat pertama, tiga kontena barangan keperluan asas hasil sumbangan akan dihantar menggunakan perkhidmatan kapal, esok dan dijangka akan sampai ke Bangladesh pada Isnin ini.

"Manakala, selebihnya dalam proses untuk dimuatkan ke dalam kontena sebelum penghantaran bagi peringkat kedua dilakukan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di Tahfiz Al Madrasathul Faridiyah, Kuala Lumpur, hari ini.

Jelasnya, pihaknya turut berterima kasih kepada orang ramai yang tampil membantu memberikan sumbangan menerusi program dilaksanakan itu.

"Kami harap hasil kutipan dapat membantu meringankan kesengsaraan pelarian Rohingya ini.

"Kami juga akan pergi ke Bangladesh pada 1 November ini bagi melihat bantuan lain yang diperlukan oleh pelarian Rohingya ini bagi bantuan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 9:54 PM