Gambar yang tular di laman sosial.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my

TIADA sebarang unsur Freemason dikesan pada program Ladies Night anjuran satu badan bukan kerajaan (NGO) di sebuah hotel di Kuantan Sabtu lalu yang tular di laman sosial.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, pihaknya sudah menghantar pegawainya untuk bertemu pengurus besar Hotel Grand Darul Makmur dan pihak pengurusannya bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Pengurusan hotel milik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) itu tidak dimaklumkan mengenai kandungan program yang berkaitan dengan unsur Freemason.

"Sisatan awal kita mendapati tempahan dewan program itu dibuat oleh NGO Lodge Royal Pahang bagi memuatkan seramai 101 peserta.

"Pihak hotel tidak dimaklumkan mengenai kandungan program itu dan bertegas akan menolak tempahan berkenaan jika ia berkaitan dengan unsur Freemason," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihak hotel itu juga sedia untuk disiasat dengan lebih lanjut dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kerana difahamkan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut menyiasat perkara itu.

Sekeping gambar yang menunjukkan pentas utama yang tertera perkataan 'Pahang Freemason Ladies Night' di latar belakangnya tular di laman sosial dan menimbulkan perdebatan di kalangan netizen.

Ada yang mempersoalkan 'kesudian' hotel berkenaan menerima tempahan berkenaan memandangkan premis itu adalah milik MUIP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 11:31 PM